Pages

Wednesday, August 19, 2015

Pelajar UMS maut dalam kemalangan di Labuan

LABUAN - Seorang pelajar perempuan Universiti Malaysia Sabah (UMS) maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan di Jalan Bebuloh dekat Jalan Sg Pagar di sini pada Selasa.

Noor Haini Muda, 20, dari Sahabat 16, Lahad Datu, Sabah, berada di sini kerana mengikuti program 'Alumni Pulang ke Ganggang’ UMS bersama dua rakan seuniversitinya masing-masing dari Kg Sri Melor, Semporna dan Kg Paal Seberang Tenom, Sabah.

Ketua polis Labuan, Superintendan Adzhar Othman berkata, tiga pelajar itu dalam perjalanan ke pusat bandar dari UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dengan kereta Perodua Viva apabila kemalangan itu berlaku pada 3.45 petang.

Katanya, seorang daripada mereka patah kaki dan seorang lagi hanya cedera ringan.

Adzhar berkata, pemandu sebuah lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu dikenali sebagai Imran Duron, 34, yang membawa isterinya berusia 32 tahun serta dua anak, cedera di kepala.

“Anak perempuannya yang berusia tiga tahun patah kaki, manakala isterinya serta seorang lagi anak perempuannya berusia tujuh tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan," kata beliau.

Mangsa yang cedera dirawat di Hospital Nukleus Labuan. - Bernama

No comments:

Post a Comment